Latarbelakang

Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama Jabatan Perdana Menteri atau lebih dikenali dengan panggilan PKPU adalah salah satu daripada persatuan penting di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ia mula ditubuhkan pada tahun 1980 oleh sekumpulan Pegawai Hal Ehwal Islam yang mula-mula berkhidmat di Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri ketika itu. Ketika ini ia adalah persatuan kembar kepada dua (2) lagi persatuan utama yang ditubuhkan di JAKIM iaitu Badan Kebajikan Kakitangan JAKIM (BKKJ) untuk seluruh warga JAKIM dan PUSPANITA JAKIM yang khusus untuk pegawai dan kakitangan wanita serta suri rumah pegawai JAKIM.

PKPU menggunakan satu Perlembagaan yang mengandungi 16 Perkara dan sehingga kini belum berjaya mendapat kelulusan pindaan kerana selalu menghadapi masalah ketidakcukupan korum tiga suku dari jumlah ahli-ahli pertubuhan. Perkara-perkara yang terkandung dalam perlembagaan tersebut terdiri dari:

Nama, alamat berdaftar dan tempat mesyuarat; Penaung; Dasar; Tujuan; Keahlian; Bayaran masuk, yuran-yuran dan lain bayaran; Keberhentian; Mesyuarat Agung; Jawatankuasa; Kewajipan-kewajipan pegawai; Kewangan; Pemeriksa Kira-kira; Pengamanah; Larangan; Perkara Am; Pindaan Undang-undang; dan Pembubaran.

Berdasarkan Undang-undang 3 Perlembagaan, PKPU ditubuhkan dengan tujuan untuk melaksanakan enam (6) agenda utama iaitu:

  1. Menjaga kebajikan dan kepentingan ahli;
  2. Memiliki harta melalui kegiatan ekonomi yang diluluskan oleh undang-undang negara dan syarak;
  3. Menambah sumber kewangan mengikut dasar yang ditentukan dari semasa ke semasa;
  4. Menderma kepada badan-badan kebajikan keugamaan, kebangsaan atau badan yang berdaftar;
  5. Memberi biasiswa kepada anak-anak ahli/anak-anak bekas ahli/individu yang difikirkan sesuai; dan
  6. Berusaha melaksanakan AMAR MAKRUF DAN NAHI MUNGKAR.
 

Semua pegawai dan kakitangan perkhidmatan ugama (kini dikenali sebagai Skim Perkhidmatan Hal Ehwal Islam) di Jabatan Perdana Menteri (kini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dari pelbagai gred perjawatan adalah ahli kepada PKPU ini dan dikehendakki menjelaskan bayaran masuk dan yuran bulanan.

Jumlah keahliannya telah bertambah dari setahun ke setahun selaras dengan penyusunan semula struktur perjawatan dan pemantapan melalui pertambahan serta pengembangan beberapa Bahagian baru dengan fungsi kerja yang lebih mencabar dan terfokus, yang diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia.

PKPU telah, sedang dan akan ditadbirurus oleh satu Jawatankuasa yang terdiri dari sembilan (9) hingga sebelas (11) orang jawatankuasa dan diketuai oleh seorang Yang DiPertua, yang dinamakan pegawai-pegawai pertubuhan. Jawatankuasa ini dilantik dalam Mesyuarat Agung Tahunan PKPU yang diadakan setiap tahun.

Kaedah pemilihan Jawatankuasa adalah melalui proses penamaan calon dan pengundian sulit yang ditadbir oleh satu Jawatankuasa Pemilihan PKPU yang dilantik. Kesemua ahli PKPU yang menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan ini diberi hak mengundi dalam tempoh masa pengundian yang ditetapkan.

Sumber dana PKPU adalah melalui bayaran masuk dan yuran ahli; sumbangan; dan projek-projek khas yang dijalankan dari semasa ke semasa.

Setakat ini, perjalanan PKPU adalah lancar dan menepati tujuan yang digariskan dalam Perlembagaan serta diyakini telah mampu untuk menunaikan sebahagian hasrat dan aspirasi ahli selain memberi khidmat bakti kepada masyarakat awam.

PKPU diharapkan mampu melonjakkan kewibawaan, ketrampilan dan profesionalisme Perkhidmatan Hal Ehwal Islam pada suatu tahap yang tinggi dan disegani di dalam negara dan di persada antarabangsa.