Tarikh kandungan : 14-01-2010

Assalamualaikum wrt. wbt. Bersempena sambutan Maal Hijrah 1431 ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah kepada seluruh pembaca, kakitangan Ugama dan ahli-ahli PKPU khasnya.

Sempena dengan sambutan kebesaran Islam ini, amat penting bagi umat Islam khususnya para daie menyedari betapa cabaran besar yang sedang dihadapi oleh Islam dan umatnya di seluruh dunia sekarang ini. Janganlah sesekali lupa, label, serangan dan ancaman Barat serta Zionisme terhadap Islam dan umatnya, sedang berlaku dengan penuh tragis.

Lihatlah sahaja cabaran yang terpaksa dihadapi saudara-saudara kita di bumi Palestin, Iraq, Afghanistan dan Somalia beriman dengan Allah dan mengamalkan Islam dalam keadaan mendapat tekanan yang amat dahsyat. Di Malaysia juga, malah disekeliling kita merupakan medan yang menyaksikan umat Islam semakin jauh dan terpesong dengan ancaman gejala murtad, ajaran sesat dan gejala sosial yang keterlaluan dan sukar dikawal.

Saya menyeru kepada seluruh ahli-ahli PKPU dan keluarga supaya mengukuhkan saf untuk menghadapi ancaman ini serta meletakkan keyakinan dan tawakal kepada Allah SWT. Ingatlah wahai sahabat, ketika Rasulullah s.a.w ditawarkan harta, pangkat dan wanita supaya meninggalkan seruan Islam, baginda bersabda:

Sekiranya diletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku
supaya aku meninggalkan pekerjaan ini, tidak sekali-kali aku tinggalkan sama
ada aku berjaya atau menemui ajal.

Mungkin itulah kalimat keramat yang boleh dijadikan semangat kepada para daie bagi meneruskan pekerjaan Rasulullah s.a.w.
Yakinilah sesungguhnya perjuangan Islam dengan mengambil iktibar dari tarikh hijrah Nabi Muhammad s.a.w. SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1431